Usia ayah menjangkau 70 tahun, namun tubuhnya masih kuat. Dia mampu menunggang basikal ke kedai yang jauhnya lebih kurang 2 kilometer bagi membeli keperluan harian. Sejak kematian ibu 6 tahun lalu, ayah bersendirian di kampung. Lantaran itu, kami adik-beradik -5 orang semuanya- bergilir-gilir menjenguknya.
Kami semua sudah berkeluarga, tinggal pula jauh dari kampung halaman di Teluk Intan. Sebagai anak lelaki sulung, saya mengambil tanggungjawab yang lebih. Selain itu, kami adik-beradik sering menelefon ayah bertanya khabar dan sebagainya. Setiap kali saya menjenguknya, setiap kali itulah isteri saya mempelawa dia tinggal bersama kami di Kuala Lumpur.
'Tak apalah, lain kali aja...!' jawab ayah. Puas 2 anak saya merayu-rayu, ayah tetap bertegas. Itu jugalah jawapan ayah kalau Kak Long mempelawanya, Kak Ngah mendesak ataupun adik-beradik saya yang lain merayunya. Bagaimanapun sesekali ayah mengalah. Namun sehari 2 berada di rumah anak-anaknya, dia minta dihantar balik. Ada-ada saja alasannya.
Suatu hari Januari lalu, ayah mengikut saya ke Kuala Lumpur. Kebetulan sekolah masih bercuti, seronoklah anak-anak saya bermain dan bergurau senda dengan atuk mereka. Masuk hari ketiga, dia merayu nak balik kampung. Seperti biasalah, ada-ada saja alasan tak logik yang diberikannya.
'Saya sibuk ayah, tak boleh nak ambil cuti. Tunggulah sikit lagi, ataupun
hujung minggu ni saya hantar ayah,' balas saya. Anak-anak saya turut memujuk
atuk mereka. 'Tak apalah kalau kamu sibuk sangat, belikan ayah tiket di Puduraya, biar ayah naik bas,' katanya membuat saya bertambah kecewa. Memang ayah pernah berkali-kali naik bas pulang ke kampung sendirian.
Tak usahlah...' kata saya memujuk dan merayu selepas makan malam itu. Ayah diam terus masuk ke bilik bersama cucu-cucunya. Bagaimanapun esok paginya ketika saya bersiap untuk ke pejabat, ayah sekali lagi
berpesan minta saya belikan tiket bas di Puduraya.
'Ayah ni, tak faham ke, sayani sibuk, sibuuuukkkk!!!' balas saya terus keluar menghidupkan enjin kereta. Saya tinggalkan ayah terkontang-kanting di muka pintu. Sedih saya tengok mukanya. Di dalam kereta, isteri saya memujuk. 'Buat apa kasar sangat dengan ayah ? Cakaplah elok-elok! Kesian dia...!' Saya terus membisu.
Sebelum isteri saya turun kereta sebaik tiba di pejabatnya, dia
berpesan agar saya penuhi permintaan ayah. 'Jangan lupa bang, belikanlah tiket ayah,' katanya ringkas. Di pejabat saya termenung panjang. Lalu saya meminta cuti kecemasan, terus ke Puduraya membeli tiket Transnasional ke Teluk Intan.
Pukul 11.00 pagi saya sampai ke rumah, terus beritahu ayah supaya bersiap.
'Bas bergerak pukul 2.00,' kata saya ringkas. Saya mengaku bersikap agak kasar ketika itu kerana didorong rasa marah dengan sikap degil ayah.
Ayah tanpa banyak kerenah bersiap. Dia masukkan baju dan kain ke dalam beg sandang. Lebih kurang pukul 12.30 saya bergerak ke Puduraya. Dalam perjalanan lebih kurang 1 jam itu, sepatah pun saya tidak bersuara. Selalunya saya dan ayah akan bersembang panjang setiap kali naik kereta bersama. Ada-ada saja yang kami bualkan. Hari tu ayah tahu saya marahkannya. Dia pun enggan menyapa saya. Tiba di Puduraya, saya terus menghantar ayah ke tingkat bawah stesen bas itu Selalunya saya akan membimbing lengan ayah tapi hari itu saya biarkan
ayah turun sendiri, cuma saya perhatikan agar langkahnya tidak terganggu.
Setelah saya pastikan nombor tempat duduk ayah, saya bersalam dan terus turun dari bas. Ayah langsung tidak memandang saya sebaliknya dia memandang ke luar tingkap. Ayah merenung jauh. Tepat pukul 2.00 bas bergerak. Saya pandang ayah tapi dia masih melemparkan pandangan ke luar tingkap mengelak daripada memandang saya. Setelah bas bergerak jauh,saya menaiki tangga menuju ke kereta. Semasa melalui gerai-gerai di hentian paling sesak itu, saya terpandang susunan kek pisang di atas meja.
Langkah saya terhenti. Berdesup fikiran teringatkan ayah kerana dia cukup suka makan kek itu. Pernah 2-3 kali kalau dia menaiki bas pulang ke kampung, dia akan meminta saya belikan makanan kegemarannya. Tapi hari itu ayah tidak minta
apa-apa.
Saya terus memandu pulang. Tiba di rumah, fikiran rasa tidak menentu. Ingatkan kerja di pejabat, ayah yang dalam perjalanan dan isteri yangberada di tempat kerjanya. Malam itu sekali lagi saya meneruskan keegoan saya apabila isteri meminta saya menelefon ayah di kampung seperti yang saya lakukan setiap kali ayah pulang dengan bas. Malam berikutnya, isteri bertanya lagi sudahkah saya hubungi ayah. 'Takkan tak sampai-sampai
lagi,' jawab saya meninggikan suara.
Dinihari itu, saya menerima panggilan telefon dari Hospital Teluk Intan. 'Pak Long dah tak ada...' kata sepupu saya di hujung talian. 'Dia meninggal 5 minit tadi selepas mengadu sesak nafas Maghrib semalam.' Terlalu sebak dia hendak meneruskan kata-kata, selain meminta saya pulang segera.
Saya terjelepok di lantai. Gagang masih di tangan. Isteri datang menerpa. 'Kenapa bang?' Saya hanya menggeleng-geleng, agak lama baru mampumemberitahu 'Ayah dah tak ada!' Tiba di kampung sayalah yang paling hiba sekali. Tidak berhenti-henti menangis berbanding kakak dan adik-adik saya. Barulah saya sedar betapa berharganya seorang ayah dalam hidup ini. Kek pisang, kata-kata saya pada ayah, sikapnya semasa saya di Puduraya, kata-kata isteri membeli tiket silih berganti menyerbu fikiran.Hanya Tuhan yang tahu betapa luluhnya hati saya apabila teringatkan
itu semua.
Saya amat terasa kehilangan ayah yang pernah menjadi tempat saya meluahkan rasa, seorang rakan yang sering bersimpati dan ayah yang cukup mengerti perasaan seorang anak. Kenapalah saya tidak dapat membaca gerak rasa seorang tua yang merindui belaian kasih sayang daripada seorang anak yang akan ditinggalkan buat selama-lamanya.
Kini telah 5 tahun berlalu. Setiap kali pulang ke kampung, hati saya bagai dirobek-robek apabila memandang nisan di atas pusara ayah. Saya tidak dapat menahan air mata apabila terkenangkan semula peristiwa pada hari-hari terakhir saya bersamanya. Saya merasa amat bersalah dan tidak akan memaafkan diri ini. Benarlah kata orang, kalau hendak berbakti biarlah semasa ayah dan ibu masih ada. Apabila sudah tiada, menangis
air mata darah sekalipun tidak bererti lagi.
Kepada pembaca yang masih ada ayah, masih ada ibu, jagalah perasaan seorang tua. Kasihi mereka sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil dulu.
RENUNGKANLAH.......
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
u make me cry. :(( . akan cuba menjadi anak yang baik, solehah. InsyaALLAH..mak ayah adalah segalanya..
ReplyDeletepizger jangan menagis...yg pntg make our parents is the first..
ReplyDelete